RABU, 14 MAC 2012
SINGAPURA - PEMIMPIN Singapura dan Indonesia semalam melahirkan komitmen untuk memperkukuhkan jalinan ekonomi dua hala, dengan tumpuan kali ini diberikan kepada usaha mempertingkatkan lagi kerjasama dalam membangunkan Kawasan Ekonomi Khas (SEZ) di Batam, Bintan, dan Karimun (BBK).
Dalam hal ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang bertemu bagi retreat sehari di Istana Bogor semalam, telah mengarahkan Kumpulan Kerja bagi BBK meneliti isu-isu yang dapat meningkatkan lagi persaingan bagi ketiga-tiga kawasan tersebut.
Kumpulan Kerja bagi SEZ BBK itu adalah salah satu daripada tujuh kumpulan kerja yang dibentuk menyusuli retreat antara kedua-dua pemimpin itu pada Mei 2010.
Tujuannya adalah bagi mempertingkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pelaburan; pelancongan; laluan udara; sumber tenaga; perniagaan berteras pertanian; dan kerjasama dalam memerangi pengganasan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kerjasama ekonomi itu, Encik Lee berkata:
Indonesia memberi tumpuan kepada pelan pembangunan strategik ekonomi dan inginkan penyertaan syarikat-syarikat Singapura.
Saya kata, ya, kami menggalakkannya. Kami harap pemerintah Indonesia akan menarik perhatian firma-firma Singapura dan menerangkan tentang peluang-peluang dan peraturan yang ada, rancangan jangka panjang, 10-20 tahun mendatang...
Kami menyentuh tentang BBK yang Singapura terlibat dalam satu kerjasama jangka panjang, dan saya memberitahu presiden (Dr Yudhoyono) bahawa terdapat banyak potensi yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Jika kita dapat mengatasi beberapa cabaran dan menangani masalah-masalah yang dihadapi syarikat-syarikat (yang beroperasi di BBK), seperti dalam soal cukai, imigresen dan hubungan buruh, hal-hal ini telah wujud agak lama dan diharapkan dapat ditangani dengan lebih baik lagi, kata beliau sambil menekankan bahawa Dr Yudhoyono menyedari hal ini dan akan berusaha menanganinya.
Dr Yudhoyono dalam pada itu, semasa pertemuannya dengan media Indonesia, menyifatkan SEZ BBK sebagai tulang punggung ekonomi negaranya.
Singapura mempunyai peluang besar meningkatkan pelaburannya di Indonesia.
Sejajar dengan pertumbuhan ekonomi, pemerintah Indonesia juga memperuntukkan dana yang cukup besar bagi pembangunan prasarana (dan) Singapura menjadi salah satu penghubung ekonomi yang kuat, kerana Singapura bisa ambil bahagian dalam investasi di Indonesia, ujarnya.
Singapura merupakan pelabur asing utama Indonesia bagi tiga tahun berturut-turut, dengan pelaburan mencapai AS$5.1 bilion ($6.43 bilion) pada tahun lalu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar